Sejak Taman Sri Muda dilanda banjir, terdapat banyak cakap-cakap belakang yang mengatakan Taman Sri Muda ini dahulunya digazetkan sebagai kawasan kolam takungan banjir atau retention pond.
Yang memulakan isu ini ialah Datuk Hussamudin Yaccub, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Karangkaf. Kemudian dipanjangkan oleh Sahabat Alam Malaysia.
Selepas itu bertebaran pula cerita yang tidak diketahui sumbernya mengatakan yang pemaju Taman Seri Muda telah diminta untuk menambak sehingga 2 meter tetapi tidak melakukannya.
Ding-dong ding-dong ini membuatkan kita tak tahu siapa di pihak yang benar.
Saya bukan untuk memuding jari kepada sesiapa yang harus dipersalahkan, tetapi saya hanya berminat untuk memberikan fakta atas kapasiti saya sebagai seorang jurutera awam.
Bagaimana Taman Sri Muda membangun sehingga menjadi terkenal sekarang eloklah kita melihat pembangunan Shah Alam secara keseluruhannya.
Semasa pemerintahan Inggeris telah membina sebuah stesyen keretapi antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Kelang bagi mengangkut bijih timah.
Stesyen ini ialah Stesyen Batu 3 Shah Alam. Ketika itu kawasan sekitar Batu 3 dikenali sebagai Estate Sungei Renggam. Ejaan sungai dahulunya ialah sungei mengikut telo sebutan orang putih.
Nama asal bagi Shah Alam ialah SUNGAI RENGGAM mengambil sempena nama Estate Sungei Renggam.
Dahulunya ibu negeri Selangor ialah Kuala Lumpur, setelah Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1hb Februari 1974 maka Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor yang baru.
Sebelum itu kerajaan negeri Selangor telah pun membuat pembangunan Shah Alam mengikut acuan perancangan bandar yang moden.
Disebabkan kedudukan Shah Alam adalah mengunjur dari utara ke selatan maka dibahagikan kepada 3 zon: zon utara, zon tengah dan zon selatan.
Fokus kita kepada zon tengah dan selatan yang meliputi Seksyen 1-24. Di mana Seksyen 1-14 juga dikenali sebagai kawasan bandar atau zon utama.
Berdasarkan keutamaan setiap zon maka pembangunan Shah Alam ditetapkan mengikut Pelan Perancangan Pembangunan yang berasaskan ciri-ciri bandar Islamik moden.
Pelan Perancangan Pembangunan tahun 1963 memfokuskan pembangunan dari Estate Sungei Renggam dari Seksyen 1 - 16.
Manakala Pelan Perancangan Pembangunan tahun 1979 pula meluaskan pembangunan Seksyen 1-16.
Dalam Pelan Perancangan Pembangunan tahun 1984 memfokuskan Seksyen 17-24. Ketika itulah terbinanya Masjid Shah Alam.
Taman Sri Muda terletak di zon selatan di mana Pelan Perancangan Pembangunannya digazetkan di tahun 1994.
Namun sebelum itu kawasan Taman Sri Muda memang pun telah dibangunkan.
Kawasan ini asalnya ialah Estate Merton milik Syarikat Sri Alam Sdn Bhd yang ditanami dengan getah dan kelapa sawit. Para pekerja majoritinya adalah dari kaum India.
Sebab itulah sehingga sekarang ramai penduduk Taman Sri Muda adalah dari kaum India yang menjadi generasi penerus Estate Merton.
Estate Merton dijual kepada Syarikat Mawacres Sdn Bhd untuk dibangunkan selaras dengan pembangunan Shah Alam.
Jadi sejak awal lagi memang telah ada "pemunya" tanah ini dan bukannya milik kerajaan Selangor.
Namun berita yang bertebaran ialah kerajaan negeri Selangor yang ketika itu diterajui oleh Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Bin Mohd Taip menjual tanah ini kepada pemaju.
Dari sumber yang entah dari mana mengatakan pula yang pemaju harus menambak 2 meter tetapi tidak ditunaikan.
Di tahun 1982, Syarikat Mawacres Sdn Bhd memulakan kerja-kerja pembangunan dan di tahun 1983 projek ini dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Bin Mohd Taib.
Tentang kolam takungan banjir atau retention pond seperti yang dinyatakan oleh Datuk Hussamuddin Yaacub itu dirasanya tidak praktikal dan teknikal bagi perancang bandar untuk membinanya di situ.
Dari pandangan saya sebagai seorang jurutera awam juga yang kolam takungan banjir tidak sesuai dibina di pertemuan anak sungai.
Malah saya percaya mereka yang dari Jabatan Parit dan Saliran juga mempunyai pandangan yang sama.
Kira-kira 500 meter dari jambatan yang menghubungkan Taman Sri Muda ialah PERTEMUAN atau kuala Sungai Damansara ke Sungai Kelang.
Apabila Banjir di hulu atau tengah Sungai Damansara yang melalui kawasan Stadium Shah Alam, Batu 3 dan sebagainya ia akan memuntahkan air yang banyak di pertemuan sungai ini.
Pertemuan Sungai Damansara dan Sungai Kelang ini memang betul-betul bertentangan dengan Taman Sri Muda.
Dengan kuantiti dan kelajuan air di sini memang tidak sesuai dibina kolam takungan banjir.
Jika dibina kolam takungan banjir pun berapa besar harus dibina?
Adakah cukup 2-3 kolam takungan banjir yang setiap satunya seluas padang bola sepak?
Sedangkan keluasan Estate Merton ialah 58,475 hektar.
Jika diletakkan keluasan sekolah dan padang bagi sekolah rendah dan menengah Taman Sri Muda pun sudah memadai untuk membina 4 buah kolam takungan banjir yang seluas padang bola sepak.
Jadi apakah kita hanya gazetkan tanah seluas itu untuk kolam takungan banjir saja?
Sedangkan kerajaan negeri telah pun siap dengan perancangan bandar yang teliti.
Sebelum PRU 2008 kerajaan telahpun membuat perancangan dan peruntukan sebanyak RM3 billion untuk mengalihkan 30% air Sungai Kelang di waktu puncak dengan membina sebuah terusan yang dinamakan City Canal sejauh 18km ke Sungai Langat.
Ia juga akan dibina sub-canal untuk membuat kolam takungan air bagi simpanan air bersih.
Namun perancangan ini tergendala disebabkan kerajaan Barisan Nasional kalah dalam pilihanraya dan kerajaan PKR kemudiannya yang diterajui oleh Tan Sri Khalid Ibrahim membatalkan projek ini atas alasan tidak berdaya maju.
Kerja-kerja infrastructur harus dinilai dari orang-orang yang pakar dalam bidangnya.
Mungkin Tan Sri Khalid Ibrahim seorang ahli korporat yang handal tetapi mungkin beliau tidak memandang dari sudut teknikal seperti kami dalam bidang kejuruteaan awam, parit dan saliran.
Begitu juga yang dihormati Datuk Hussamudin Yaacub adalah dari bidang sastera mungkin bukan bidang Datuk untuk menilai perkara yang sebegini.
No comments:
Post a Comment