Malaysia's Tenth Prime Minister

Malaysia's Tenth Prime Minister
YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim

Thursday, December 8, 2022

Eyeing the "pesawah"

WARKAH DARI SAWAH : KHAS BUATMU PERDANA MENTERI - DATUK SERI Anwar Ibrahim 🇲🇾

Assalamualaikum Wbt dan Salam Hormat dari Keluarga Besar Anak Sawah Tani .

Pertama - adapun warkah ini ditulis khas buat Perdana Menteri Malaysia secara terbuka, andai Datuk Seri membaca warkah ini, sesungguhnya ia lahir dari bunga ukir budi fikir seorang Anak Sawah yang lahirnya di tepian bendang Utara. Ayah - marhaen Merong yang mengenal mana Padi mana Menerong, inilah setangkai budi buatmu merenung.

Datuk Seri, ayah menyantuni hasrat Datuk Seri bahawa Perdana Menteri ke 10 Malaysia menerima cadangan secara terbuka.  Maka ayah letakkan partisan di tepi, biarlah warkah ini dibaca sebagai cadangan dalam memurnikan polemik isu Pesawah Padi di seluruh negara - marhaen bersuara. Maka ayah cadangkan supaya diperhalusi 15 perkara untuk mengangkat mandiri Pesawah di Malaysia.

1. “Knowledge is greater than privilege", ayah mencadangkan supaya dana untuk RnD penambahbaikan Benih Padi Hybrid seperti Siraj dan MR12H ditambah kepada pihak MARDI. Benih Padi yang lebih baik adalah jaminan penambahan output Tan dalam pengeluaran semusim Padi.

2. Selaras dengan hasrat pertama untuk meluaskan skop kajian, ayah mencadangkan supaya kuota dan dana Geran Penyelidikan di setiap Universiti tempatan yang menawarkan jurusan Pertanian ditingkatkan. Wujudkan usaha untuk mendigitalkan tesis kajian terpilih dalam ikhtisas pertanian - dengan hasrat Pustaka Siber Tani diwujudkan, supaya akses maklumat dan variasi idea lebih mudah dicapai oleh semua golongan. 

3.  "Jika ingin melihat negara ini 30 tahun lagi, didiklah anak remaja kini". Ayah mencadangkan untuk meningkatkan minat ke arah pertanian sawah - wujudkan Lawatan Penanda Aras 100 orang pelajar dari 3 Zon Pertanian Padi utama Malaysia - Utara (Kedah, Pulau Pinang), Tengah (Perak) dan Zon Sekinchan-Sabak Bernam (Selangor) untuk melihat pertanian padi moden di negara Jepun dan Korea. Buka minda mereka.

4.  Mengambil idea dari Sekolah Kebangsaan Kampung Sawah, Port Dickson - ayah mencadangkan supaya diwujudkan program 1 Sekolah 1 Sawah di sekolah-sekolah zon Bandar yang mana pelajarnya tidak pernah terdedah kepada pertanian Sawah Padi. Biasakan yang tidak, betulkan yang biasa. Lahirkan mereka yang menghargai sawah padi dan mengenali proses pertanian ini secara terperinci.

5. Ayah juga mencadangkan supaya kawalan biologi Burung Hantu / Program Pungguk Jelapang diperluaskan semula. Rumah Burung yang dulunya wujud di beberapa lokasi utama sawah negara kebanyakannya telah kosong, adalah wajar supaya Burung² ini dipastikan kembali wujud sebagai kawalan kepada serangan Tikus secara alami.

6.  Bagi memastikan para pesawah mempunyai lapangan saraan kedua, juga dengan hasrat "dari reban ke meja makan", ayah mencadangkan supaya Program Jom Tani Selepas Padi diwujudkan. Suntikan dana kepada pesawah terpilih diberi untuk mewujudkan ternakan Itik dan Ayam Penelur, supaya program rintis seperti ini suatu masa nanti memecahkan masalah monopoli pasaran Telur Ayam dalam negara. 

7.  Menggiatkan Pelancongan Desa berasaskan pemandangan Padi seperti di Kampung Agong, Penaga dan Sekinchan. Langkah ini juga menjamin peluang kerja kepada komuniti pesawah tempatan serta pulangan ekonomi yang dapat dimanfaatkan untuk pembangunan prasarana setempat.

8. Salah satu akar kepada leluhur Melayu ialah kisah Wan Empuk dan Wan Malini penanam Padi Huma. Mengambil idea dari pelancongan Padi Huma di Tegallalang - Bali, ayah mencadangkan kawasan Bukit yang telah ditarah untuk diteres semula dan ditanam Padi Huma. Manfaatkan semula setiap inci tanah bukit yang telah diguna, dari terbiar tanpa Cegatan Silara - molek dimanfaatkan sebaiknya.

9.  Bersesuaian dengan kemajuan teknologi, penggunaan Drone untuk menyembur racun dan baja perlu diberikan pendedahan kepada generasi remaja. Bukan sekadar peluang kerjaya, tetapi menjamin sifar kematian dan efek kesihatan akibat daripada aktiviti penyemburan racun secara manual oleh pesawah sejak dulu kala.

10.  Memperluaskan kajian bakteria/mikrob baik yang membantu pertumbuhan Padi sebagaimana yang pernah dilakukan oleh pengkaji Agrotani - Cthnya: Puan Wahida Hambali. Selain dari itu, pesawah perlu diberikan pendedahan dan dibekalkan benih pokok Bunga Pukul Delapan (Turnera Subulata/Trioniflora), yang mana pokok ini memberikan manfaat secara alami untuk sistem ekologi sawah Padi.

11.  Bantuan Kewangan Awal Persekolahan RM 300 per kepala untuk anak-anak Pesawah yang masih bersekolah dari Pra Sekolah hingga Tingkatan 6.

12. Subsidi alat ganti dan kos pembaikpulihan sebanyak RM 1000 setahun untuk pengusaha jentera tani dan pesawah yang memiliki Kubota / Trekta. 

13.  Penghapusan hutang PTPTN kepada anak pesawah yang mencapai pointer 3.5 dan ke atas, atau pointer 3.2 dan ke atas sekiranya ikhtisas terkait pertanian.

14.  Skim Pemilikan Kereta Pesawah Pertama (SMILE) untuk membantu pesawah yang tidak mempunyai slip gaji memiliki kereta - hasil usahasama Proton/Perodua dan pinjaman faedah rendah Agrobank.

15.  Program Subsidi Haji sebanyak

RM 2000 kepada pesawah / pasangan yang berumur 60 tahun ke atas, dengan syarat mengerjakan Haji kali pertama.

Datuk Seri,

Kenangan mendewasakan memori bahawa Datuk Seri ialah Talam yang mengangkat piring sumbing marhaen dari Baling ketika Demonstrasi 1974, hatta ianya adalah tinta yang mencorak perjalanan politik Datuk Seri dari Permatang Pauh hingga Putrajaya.

Besarlah harapan seandainya buah fikiran ini diperhalusi oleh Datuk Seri dan kepimpinan negara. Setelah kami menumpahkan janji dan undi kepada Malaysia, semoga Malaysia menumpahkan semula nuansa membela kepada pesawahnya.

"Kedah Tua tidak dibina di dalam mimpi - Kota Melaka hancur dalam 14 hari"

Semoga ALLAH merahmati Malaysia,

Terima Kasih Perdana Menteri. 😊

Sekian