Malaysia's Tenth Prime Minister

Malaysia's Tenth Prime Minister
YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim

Saturday, September 10, 2022

Eyeing Azad Jasmi's writings

 *Berhati-hati dengan Riak, Ujub dan Takbur.*

*Azad Jasmi l 10 Sep 2022*

————————————

1. Saya ingin kongsikan elemen sifat “sakit” yang ada dalam diri kita, namun kerap kali kita tidak sedar dan sering alpa dengan sikap ini.

2. ALLAH SWT berfirman: "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Surah Luqman 31:18)

3. Menurut Rasulullah SAW, ada tiga penyakit yang akan menghancurkan amalan seseorang, antaranya ialah riak atau sombong. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin berkata, sifat takbur akan menjadi batas pemisah antara seseorang dengan kemuliaan akhlak. Orang takbur akan selalu mendustakan kebenaran, menganggap rendah orang lain dan meninggikan dirinya.

4. Kita lihat ramai cerdik pandai dalam kalangan kita dan pemimpin-peminpin yang berkuasa yang membawa dan mempamerkan sikap riak dan sombong. 

Mereka menjadi riak dan sombong kerana mempunyai kelebihan daripada orang lain, sama ada mempunyai kuasa sebagai penjawat awam atau memegang jawatan tertentu, mempunyai ilmu pengetahuan sama ada pengetahuan tentang dunia atau pengetahuan tentang akhirat, mempunyai harta kekayaan, mempunyai kegagahan fizikal atau keturunan yang baik.

5. Kelebihan dianugerah Tuhan tidak mereka syukuri dengan perasaan syukur dan tawaduk tetapi membuat mereka menjadi riak dan sombong.

i. Takbur

Ialah berperasaan tinggi diri dan suka menganggap diri sendiri lebih mulia, lebih pandai, lebih cerdik dari orang lain. Manakala sombong ditakrifkan sebagai tinggi hati, angkuh dan bongkak.Takbur dan sombong adalah perkataan yang sama maksud dan pengertiannya.

ii. Ujub

Bermaksud bangga akan diri sendiri, merasa kagum terhadap diri sendiri kerana kelebihan atau sesuatu yang terdapat padanya. Diri sendiri yang dimaksudkan adalah berkaitan peribadinya, orang kelilingnya, harta benda, kecantikan, kepandaian, anggota keluarganya atau apa sahaja yang dekat dan akrab dengan dirinya.

iii. Riak

Ialah tidak ikhlas menunaikan ibadat atau melakukan sesuatu dengan mengharapkan balasan yang setimpal. Sebagai contoh seorang lelaki atau perempuan yang bersembahyang sambil mengharapkan agar ada orang yang memerhati dan memuji kerajinannya.

6. Ketiga-tiga penyakit hati ini membahayakan umat Islam dan ada pendapat ulama meletakkan ketiga-tiga sifat ini sebagai syirik kecil.

Jika sifat-sifat ini terdapat di dalam diri, ia akan menyebabkan pahala amalan ditolak serta merta.

7. Baca Doa Ini Bila Dipuji, Elak Rasa Riak, Ujub Dan Takabbur

Terdapat juga riwayat daripada sebahagian ulama salaf yang berpesan dengan doa:

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui keadaan diriku lebih dari aku sendiri, dan aku lebih mengetahui keadaan diriku berbanding orang lain. Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang mereka ucapkan, ampunilah aku atas kekurangan yang tidak mereka ketahui. Dan jadikan aku lebih baik dari pada penilaian yang mereka berikan untukku.”

8. Dalam riwayat yang lain, terdapat tambahan lafaz:

Maksudnya: Jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan. Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4524 dan 4534)

(Sumber tentang bacaan doa ketika dipuji ini ialah dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

9 Semoga ada manfaat dan kebaikan dari perkongsian kecil ini. Ini merupakan ingatan buat saya yang sering terlupa.

Yang baik dari Allah dan buruk itu pasti dari saya.

10. Ilmu ini ialah ilmu Allah dan saya hanya sampaikan dengan harapan agar ada manfaat bersama untuk dikongsikan insyaAllah.