Malaysia's Tenth Prime Minister

Malaysia's Tenth Prime Minister
YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim

Tuesday, May 31, 2022

Eyeing Malaysia's PM on HALAL

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

“Aplikasi Konsep Halalan Toyyiban di Malaysia Sebagai Model Pembentukan Amalan Terbaik Industri Ekonomi Halal Global”

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah dan kurnianya kita dapat berkumpul di Majlis Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi 2022 bertemakan ‘Ekonomi Halal’.

2. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana sudi menjemput saya memberikan syarahan ini.

3. Penghargaan juga kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) yang turut memberikan sokongan terhadap penganjuran program ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi

4. Umum mengetahui Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra disapa dengan nama ‘Pak Lah’ oleh Keluarga Malaysia, merupakan antara tokoh yang terbilang dalam sejarah negara.

5. Justeru itu, syarahan ini amat besar maknanya kepada negara dan juga diri saya sendiri rentetan daripada sumbangan dan jasa beliau ketika mentadbir negara dari tahun 2003 hingga 2009. ‘Pak Lah’ ini juga turut dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.

6. Pembangunan ekonomi halal di negara ini merupakan salah satu legasi utama Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah yang terus diberi perhatian utama oleh Kerajaan dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

7. Selain potensi industri ini besar, ia juga merupakan satu kewajipan (fardhu kifayah) dalam kalangan kaum Muslim. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al- Mukmimun (ayat ke-51) bermaksud “Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Konsep Halalan Toyyiban

8. Kita tahu bahawa halal bermaksud ‘dibolehkan’ manakala toyyiban pula bermaksud ‘baik’ dan ‘bermanfaat’ bukan hanya aspek fizikal tetapi juga rohani. Konsep Halalan Toyyiban disokong oleh falsafah asas Maqasid Syariah yang melindungi kebajikan manusia daripada sebarang kemudaratan.

9. Selain itu, falsafah kepenggunaan konsep halal dan baik datangnya daripada makanan yg bersih, suci kaedah perolehannya serta bebas dari kemudharatan.

10. Prinsip halal ini tidak tertumpu kepada kandungan barangan tetapi juga keselamatan pengguna daripada segi kandungan, hubungan dengan alam sekitar dan etika dengan haiwan. Tidak menghairankan, makanan yang memenuhi prinsip halalan toyyiban menjadi pilihan utama kerana kualitinya diakui bersih, selamat dan bersifat universal.

11. Sesungguhnya, konsep halal ini tidak tertumpu kepada orang Islam semata-mata tetapi juga terpakai untuk masyarakat am kerana sesuatu yang baik menjadi keperluan setiap individu.

12. Jika dilihat dari sudut pandangan Islam pula, halal mendatangkan kesan positif dalam semua aspek, manakala daripada sektor ekonomi pula ia menyaksikan perkembangan pesat industri makanan halal di serata dunia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Ekonomi Halal: Kombinasi Perspektif Agama dan Ekonomi

13. Industri Ekonomi Halal ini perlu dilihat daripada perspektif agama dan ekonomi. Bezanya Islam dengan agama lain terletak pada kaedah penyerahan diri yang dilakukan agama masing-masing sebagai bukti keimanan dan kepercayaan kepada Tuhan.

14. Ini kerana dalam pembangunan Islam, setiap perkara dinilai dengan keadilan, mematuhi garis panduan syariat Islam, menjaga keharmonian masyarakat dan menegakkan amar ma’aruf nahi mungkar.

15. Dalam industri halal pula, masyarakat berhak mendapat sesuatu yang baik, suci lagi selamat berdasarkan garis panduan ditetapkan Islam demi menjaga kesejahteraan umat-Nya. Ini termasuk status halalnya makanan, sumber yang diperoleh serta kesan makanan tersebut kepada kesihatan.

16. Individu muslim tidak dibenarkan memakan atau menggunakan barangan tidak halal. Menurut hadith Rasulullah: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan haram itu juga jelas. Di antara keduanya terdapat perkara syubhah (yang masih ragu) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Barangsiapa yang menghindarkannya (perkara syubhah), maka ia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Barangsiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka ia boleh terjatuh pada perkara haram.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Prinsip halal bukan berkait dengan agama semata-mata, ia turut memberi pradigma baharu kepada isu lebih global seperti kelestarian ekonomi, kesedaran alam sekitar, keselamatan makanan dan kebajikan haiwan.

18. Dalam konsep ekonomi, teori pembangunan sosial turut memberi penekanan kepada penggabungan dasar ekonomi dan kebajikan sosial dalam memanfaatkan kesejahteraan masyarakat.

19. Pertumbuhan ekonomi membantu kerajaan menyediakan bantuan, manfaat, perkhidmatan dan program sosial yang terbaik kepada masyarakat, dan seterusnya membolehkan perancangan ekonomi lebih seimbang, adil dan membawa kemakmuran bersama.

20. Ekonomi Halal menggabungkan elemen keperluan agama dalam perniagaan dengan menekankan hubungan sesama manusia bersandarkan persaudaraan dan kesamaan manakala harta dan segala sumbernya di muka bumi pula dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh Allah SWT.

21. Sehubungan itu, ekonomi halal perlu diangkat sebagai salah satu sistem yang berdaya saing dan penyumbang kepada ekonomi negara. Selain itu, pasaran produk halal juga patut berkembang sehingga ke negara-negara bukan Islam.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Malaysia sebagai Pusat Rujukan Utama Ekonomi Halal

22. Industri produk halal di Malaysia ini mula diberi perhatian dalam Pelan Induk Perindustrian II, 1996-2005, dan diikuti pula Dasar Pertanian Negara Ketiga, 1998-2010. Industri ini dibangunkan kerana Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur dan kemahiran dalam teknologi pemprosesan.

23. Kepentingan industri halal ini turut dititikberatkan dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga, 2006-2020, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

24. Pelan induk ini mempunyai teras strategik antara lainnya menjadikan Malaysia pusat serantau bagi produk dan perkhidmatan halal seperti produk farmaseutikal, peralatan perubatan, pemprosesan makanan, tekstil dan pakaian.

25. Isu halal bukan sahaja dipandang daripada isu keagamaan, malah menjadi satu gaya hidup dan jaminan kualiti sesebuah negara.

26. Di Malaysia, tanggungjawab, peraturan dan pemasaran halal terletak di bawah kuasa badan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation (HDC), dan Majlis Agama Islam Negeri.

27. Sekali lagi suka saya nyatakan di sini, HDC yang dilancar pada September 2006 juga hasil daripada aspirasi Yang Amat Berbahagia, Tun Abdullah.

28. Agensi kerajaan ini menerajui pembangunan industri halal dengan turut menetapkan standard halal, proses audit untuk melindungi integriti halal serta menyelaras pembangunan industri halal Malaysia di sektor awam dan swasta.

29. Perkembangan ini menyaksikan Malaysia menjadi rujukan sebagai model halal hub global. Pembangunan ekosistem halal komprehensif menjadikannya sumber baharu pendapatan negara.

30. Kepakaran dan keilmuannya dalam pensijilan halal diiktiraf kuasa ekonomi dunia seperti China, Jepun, Australia, Korea Selatan dan beberapa buah negara Islam lain seperti Indonesia, Turki, UAE dan Bosnia.

31. Segala usaha yang dilakukan juga selaras dengan Program Pelan Induk Industri Halal (HIMP 1.0) (2008-2020), HIMP 2.0 (2019-2030) serta Program Pembangunan Strategik

Industri Halal yang bertujuan menjadikan negara sebagai pemimpin halal global dalam inovasi, pengeluaran dan perdagangan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Dana Endowmen Ekonomi Halal di UKM

32. Saya juga dimaklumkan kerjasama erat pihak Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) dan Hadhari Global Foundation dengan pihak Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah membawa kepada kelahiran Dana Endowmen Ekonomi Halal yang turut dilancarkan pada hari ini.

33. Tujuan utama penubuhan dana endowmen ini adalah membangunkan kepemimpinan dalam penyelidikan dan pendidikan dalam bidang ekonomi halal. Ini meliputi bidang Sains dan Teknologi, dan Sains Kemanusiaan.

34. Saya menyambut baik penubuhan Dana Endowmen Ekonomi Halal ini dan berharap usaha ini dapat memperkasakan aktiviti akademik dan intelektual dalam bidang ekonomi halal agar Malaysia dapat menerajui agenda ekonomi halal di peringkat pengajian tinggi.

35. Pada masa sama, saya ingin melihat program pembangunan modal insan dalam bidang ekonomi halal di peringkat antarabangsa juga dapat dilaksanakan. Pihak Kementerian khususnya Kementerian Pengajian Tinggi, JAKIM, HDC dan pihak industri diseru supaya dapat menyokong usaha murni ini.

36. Kerjasama dan usaha ini sejajar dengan wawasan negara untuk mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 2015-2030) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Melangkah ke hadapan

37. Ekonomi Malaysia kini berdepan dengan ketidakpastian yang berlaku di peringkat global selain persaingan semakin sengit dalam ekonomi serantau (regional economics). Peranan dan sumbangan ekonomi Halal tempatan terhadap ekonomi negara masih boleh dipertingkatkan atau ditambah baik supaya menjadi lebih signifikan.

38. Berdasarkan laporan Global Islamic Economy Report (2016/2017 hingga 2020/2021), Malaysia menduduki peringkat pertama daripada segi skor petunjuk ekonomi Islam global. Bahkan, Malaysia menunjukkan prestasi teratas dalam sektor kewangan Islam.

39. Namun begitu, enam sektor lain, iaitu makanan halal, pelancongan, fesyen, kosmetik dan farmasetikal, dan media dan rekreasi masih ada ruang diperbaiki untuk meningkatkan skor dalam sektor tersebut.

40. Pada masa ini, ekonomi halal dilihat lebih mencakupi dan berkembang sekitar sektor kewangan dan makanan, sekali gus memperlihatkan kewajaran kepada kita bahawa aspek ini perlu diberikan perhatian dan diperbetulkan.

41. Kepesatan kewangan Islam antaranya dipacu oleh permintaan masyarakat terhadap sistem bebas riba, mempunyai unsur gharar dan masyir (spekulasi atau perjudian) selain adanya juga kawal selia dan model pengembangan sistem kewangan Islam yang tersedia di peringkat global.

42. Justeru, Pelan Induk Ekonomi Halal harus diupayakan dan diusahakan oleh pemegang taruh untuk memperkasakan ekonomi halal. Ini dilakukan dengan meningkatkan peranannya dalam pelbagai sektor ekonomi halal dalam pembangunan negara.

43. Pada masa ini, cadangan kawal selia sedia ada lebih terhad kepada sektor kewangan Islam melalui Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti manakala JAKIM pula bagi kawal selia industri halal. Oleh itu, kawal selia lebih komprehensif boleh disatukan misalnya melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah.

44. Saya menyeru saranan ini dapat diberi perhatian sewajarnya agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai Model Rujukan Utama dalam bidang Ekonomi Halal dapat direalisasikan.

45. Semoga apa yang diiltizamkan, dapat kita realisasikan bagi memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia melalui pemerkasaan dalam bidang ekonomi Halal.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi taufik walhidayah

Wasalamualaikum warahmahtullahi wabarakatuh