Malaysia's Tenth Prime Minister

Malaysia's Tenth Prime Minister
YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim

Wednesday, September 22, 2021

World Car Free Day 22nd September annually

 22 September is World Car Free Day, when all around the world towns and cities allow people to experience streets free of motor traffic.

In Malaysia we have the OCBC KL Car Free Morning every first and third SUNDAY of the month organised by Multigreen Events Sdn Bhd with the consent of Kuala Lumpur City Hall, the Royal Malaysian Police and sponsors.



Eyeing YBM Tengku Razaleigh Hamzah in Parliament

 *UMNO YANG HILANG – YBM TENGKU RAZALEIGH HAMZAH*


_*Ucapan penuh di Dewan Rakyat pada hari Selasa, 21 September 2021*_


Pautan berita di; https://www.editormalaysia.com/24182/


1. Dewan Rakyat merupakan pusat aktiviti politik di Malaysia. Maka itu amat penting kemuliaan dewan ini dijunjung terus menerus. Sekiranya Dewan Rakyat gagal menjalani tugasnya, maka negara tercinta ini juga akan gagal.


2. Kita kini sedang menghadapi krisis di mana rakyat menganggap Dewan Rakyat gagal menjalankan tugasnya. Keadaan ini seolah-olah seperti sudah jatuh ditimpa tangga oleh kerana orang ramai berada di dalam keadaan terdesak di mana mereka menghadapi penderitaan amat sangat yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. Dalam keadaan sebegini, percaturan politik Malaysia seharusnya berjalan lancar. Sekiranya politik yang didendangkan di Dewan Rakyat dan oleh parti-parti politik itu sumbang, maka tidak mungkin kita boleh menyelesaikan masalah dihadapi rakyat. Lebih dari itu, orang ramai tidak akan ada tempat untuk bergantung dan tiada badan di mana mereka boleh berteduh untuk merayu meminta pertolongan dalam usaha mereka mencari penyelesaian.


3. Sistem politik kita bergantung kepada cara seseorang ahli Dewan Rakyat membawa diri di dewan mulia ini sebagai wakil rakyat. Sebenar-benarnya Dewan Rakyat adalah Dewan hak orang ramai. Maka itu kita mempunyai tanggungjawab berlandaskan amanah untuk memastikan aktiviti politik kita dijalani sebaik mungkin. Barang diingat politik ini seharusnya merangkumi dasar dan polisi yang menentukan cara hidup rakyat serta hala tuju negara dalam usaha mengatasi kesusahan rakyat dan ketidak-tentuan kehidupan mereka.


4. Seperkara yang tidak dapat dielakkan ialah parti politik mempunyai peranan penting di Dewan Rakyat. Sistem politik kita bergantung kepada parti politik. Oleh itu cara ahli-ahli Dewan Rakyat bertindak di dewan mulia ini dikawal dan dipengaruhi oleh

parti-parti politik mereka. Sekiranya aktiviti politik sesebuah parti itu korup, tidak bertanggungjawab dan mengagung-agungkan diri; dan sekira kesemuanya ini terdapat dalam aktiviti Dewan Rakyat, maka akhirnya rakyat tidak akan mendapat apa-apa faedah daripada apa jua dasar oleh kerana amalan korup akan memesongkan aktiviti politik.


5. Pada pandangan orang ramai, Dewan Rakyat tidak lagi dihormati dan

disanjungi seperti suatu ketika dahulu. Orang ramai sering merasakan bahawa Dewan Rakyat kini dipengaruhi dan dimanipulasi melalui korupsi politik. Mereka juga merasakan bahawa ia adalah cara memperkaya beberapa orang sahaja sementara orang ramai keciciran. Orang ramai percaya bahawa Dewan Rakyat kini dilanda kekotoran korupsi politik.


6. Korupsi politik ini tidak mudah ditakrif. Ini berlaku dalam berbagai bentuk. Bukti berlakunya korupsi politik ini ada kalanya kelihatan dan ada kalanya tertutup. Seorang hakim ternama menyifatkan korupsi politik sebagai “worm in the bud” yang boleh merosakkan demokrasi kita. Oleh itu kita haruslah mencari jalan untuk menghapuskan “ulat-ulat” yang mengerumuni Dewan Rakyat. Tugas ini bukan senang dilaksanakan. Kita perlu memulanya dengan memastikan kita mengamali politik betul dan lurus. Cara ini akan membantu kita dalam menentukan amalan dasar-dasar betul, baik dasar ekonomi mahupun dasar kesihatan atau pun pendidikan. Politiklah akan menentukan apakah dasar-dasar ini dan bagaimana ia harus dilaksanakan. Sekiranya politik terjebak di jaringan korupsi segala kenyataan muluk-muluk di Dewan Rakyat tiada gunanya kepada rakyat. Aktiviti politik kita dengan parti-partinya hendaklah bergerak dengan betul oleh kerana inilah asas kewujudan negara kita.


7. Dalam konteks inilah saya ingin menerangkan sejarah di sebalik kemerosotan politik. Satu contoh ketara ialah pengharaman UMNO pada 1989, parti politik kebangsaan terulung yang ditubuhkan pada 1946. Pengharaman ini mengakibatkan tertubuhnya sebuah parti UMNO yang lain. Kini terdapat pandangan di kalangan kebanyakan orang Melayu dan bukan Melayu bahawa parti-parti politik berada di dalam keadaan kucar-kacir dan kegagalan. Peranan UMNO pada masa-masa lalu amat penting. Maka itu benarkanlah saya menerangkan kemerosotan politik dengan cara meninjau keadaan UMNO yang ditubuhkan pada 1989 berbanding dengan UMNO yang tertubuh pada 1946.


8. Saya merujuk kepada makalah nukilan Profesor Shamshul Amri Baharuddin siaran Sinar Harian pada 13.1.2021 mengenai kemerosotan UMNO dan ketidakupayaannya membetulkan kesilapan serta kesukaran untuk terus menerus menjadi relevan kepada orang Melayu. Kini katanya UMNO berpecah belah dan tidak mempunyai kepimpinan yang mampu menyelesai krisis seperti diperlukan negara. Saya tidak cadang bertentangan pendapat dengan beliau tetapi saya kira ia memerlukan pencerahan.


9. UMNO yang beliau maksudkan itu bukannya UMNO tertubuh pada tahun 1946. UMNO tersebut merentasi beberapa peringkat perkembangan, termasuklah perubahan asas terhadap visinya untuk orang Melayu. Ia merangkumi segala-galanya dan ia juga komited terhadap demokrasi berperlembagaan serta pemerintahan

berlandaskan undang-undang. Rentetan sejarah menunjukkan bahawa nasionalisma Melayu memainkan peranan progresif dan UMNO banyak dipengaruhi oleh idea sejagat.


10. Ahli-ahli UMNO pada waktu itu faham bahawa mutu kepimpinan merupakan asas dalam mencapai matlamat parti untuk berkhidmat kepada negara dan tugas kepimpinannya. Pemimpin yang dipilih, sama ada di peringkat cawangan, mahupun bahagian atau peringkat nasional adalah berdasarkan integriti dan keluhuran, kebolehan, pengetahuan serta keupayaan memikul tanggungjawab kepimpinan

tersebut di samping menonjolkan wawasan masa hadapan orang Melayu dan kedudukan mereka di kalangan masyarakat Malaysia. Barang diingat bahawa wawasan tidak beku, jauh sekali bersandarkan kepada keperibadian seseorang.


11. Pengharaman Parti Kebangsaan Melayu Malaya [PKMM] pada tahun 1948 membawa titik perubahan terhadap politik negara ini dengan penghijrahan beramai-ramai ahli PKMM ke UMNO. Perubahan terhadap keahlian ini menghasilkan kesan penting kepada parti dengan kemasukan nilai-nilai ideal. Bagaimanapun para sejarawan masih belum mengkaji kesan perubahan ini. Hanya, UMNO menjadi semakin nasionalistik dengan pengwujudan rancangan ekonomi dan sosial untuk memajukan kaum Melayu. Ia berjaya menarik yang terbaik dan paling cerdik untuk menerajui UMNO. Dengan perkembangannya ke setiap pelusuk, ia merupakan bermulanya pensejarahan hebat parti. UMNO juga mula mengembang sebagai badan mewakili orang Melayu dengan visi sejagat. Para ahli dan pemimpin memperkukuh kedudukannya dengan sumbangan kewangan. Di samping itu ahli-ahli amat menghormati para pemimpin dengan sifat ketulusan dan integriti mereka.


12. UMNO juga menerima pakai visi untuk bekerjasama dengan rakyat Bukan Melayu dalam usaha membangunkan negara. Perlembagaan Persekutuan hasil rundingan UMNO memperuntukkan kewarganegaraan kepada semua penduduk serta mewujudkan persetujuan bersama dengan tujuan membetulkan kemunduran ekonomi Melayu serta mempertingkatkan kemajuan mereka untuk berdikari.


13. Sayangnya, pada 1988 – 42 tahun selepas tertubuhnya parti kesayangan Melayu itu – UMNO diharamkan; ia merupakan suatu keputusan aneh dan tidak masuk akal. Ketika itu UMNO adalah parti pemerintah dengan tiga juta ahli; parti berkuasa yang dipilih menurut peraturan perlembagaan. UMNOlah Kerajaan dan ia tidak sekali-kali boleh, waima atas sebab apa pun, diisytihar menyalahi undang-undang dan dibatal pendaftarannya. Keputusan mahkamah dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia itu tidak berasaskan undang-undang tetapi berlandaskan politik demi menyokong kepimpinan semasa. Apa yang berlaku ini telah menjadikan orang Melayu kaku. Dalam pada itu sebuah parti baru dengan nama sama telah dibentuk oleh mereka yang bertanggungjawab terhadap pembatalan UMNO. Jelaslah sekarang

UMNO diisytihar menyalahi undang-undang dan dibatal pendaftarannya demi tujuan tersirat untuk mendapatkan kepimpinannya secara tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang. Keputusan ini tidak sah. Ia sebenarnya penyalahgunaan kuasa politik.


14. Parti yang kononnya dikenali sebagai UMNO baru ini tidak mempunyai visi pensejarahan. Ia juga tiada akar umbi di kampung-kampung mahu pun di bandar. Sesungguhnya ia bukanlah suatu pergerakan, jauh sekali sebuah parti politik. Ia hanya merupakan suatu badan yang dibebankan ke atas ahlinya.


15. UMNO Baru menjadi parti kepada suatu golongan politik baru yang menyalahgunakannya untuk memperkaya diri. Ia mula bersifat seolah-olah seperti perusahaan komersial. Sekaligus ini merosakkan jiwa keMelayuan. Perangai tamak haloba mengatasi segala-galanya. Di samping itu prinsip akhlak hancur berkecai; begitu juga halnya dengan mutu kelakuan mereka yang cuba meraih jawatan awam dan kuasa politik. Kehancuran ini amat terasa di bidang dasar ekonomi berkaitan dengan penswastaan “harta awam”, iaitu aset nasional untuk faedah rakyat jelata. Saya membuat imbasan kepada dasar ekonomi dan faktor kewangan yang menyebabkan kemerosotan UMNO 88 oleh kerana kemerosotan tersebut hanya dapat difahami sekiranya kita arif tentang dasar ekonomi dan faktor kewangan yang saya sebutkan tadi.


16. Amat menyedihkan apabila amalan politik kita berbaur menjadi rasuah politik di mana kuasa politik ditukar ganti dengan sokongan untuk mendapat kedudukan dalam parti. Ini dilaksanakan dengan pengwujudan sistem berat sebelah dan ganjaran kewangan berperingkat. Rasuah politik sebagai perbuatan haram dan membahayakan demokrasi berperlembagaan kita masih tidak mendapat pengiktirafan seperti terdapat di negara-negara lain. Kita harus menghapuskan musuh dalam selimut ini sekiranya kita benar-benar hendak mempertahankan sumpah berperlembagaan untuk “menyimpan, menjaga keselamatan dan mempertahan” Perlembagaan kita.


17. Para pemimpin parti politik, kehakiman, Kabinet kerajaan dan Ahli Parlimen harus ingat bahawa mereka berkewajipan terhadap negara dan rakyat. Sekiranya mereka tidak menegakkan Kedaulatan Undang-Undang dan Perlembagaan, itu bermakna mereka melakukan pengkhianatan. Keadaan semasa Dewan Rakyat dan penderitaan rakyat kini adalah akibat penyalahgunaan politik dan kuasa. Kita haruslah menukar cara kita berpolitik untuk menyelamatkan rakyat dan negara.


18. Demi membolehkan UMNO memain peranan nasional, kita perlu membetulkan ketidakadilan sejarah dan menebus kembali hak politik, undang-undang dan keperlembagaan UMNO asal. Hak menebus kembali ini berasaskan kepada hak undang-undang UMNO untuk menebus bahawa keputusan oleh Mahkamah dan Pendaftar tidak mempunyai kuasa undang-undang. Ia tidak mempunyai apa-apa kesan undang-undang dan tidak sah.


19. Sebenarnya ia adalah rampasan kuasa melalui sistem undang-undang dan institusi kita yang lemah. Kita perlu menukar keadaan ini demi memastikan ia tidak berulang lagi. Sesungguhnya ia merupakan suatu perangkap terhadap parti politik dan kerajaan dengan tujuan untuk mendapat bekalan kekayaan bagi maksud memperkayakan mereka yang mengawal sistem pentadbiran kerajaan.


20. Saya tidak sekali-kali berhenti dan meninggalkan UMNO asal. Saya pernah bertanding jawatan Presiden pada 1987. Maka itu saya berhak mengaku diri saya sebagai wakil keperluan atau _"agent of necessity"_ untuk UMNO yang ditubuh pada 1946 dan juga wakil terkanannya di Dewan Rakyat. Saya ini sebahagian asal daripada Parti UMNO di Parlimen dengan tujuan mengembalikan hak undang-undang dan keperlembagaan UMNO dan membuat apa jua yang patut bagi mengembalikan kedudukannya di bidang politik nasional dan di dalam kepentingan nasional.


21. Saya ada menyebut sebelum ini bahawa segala yang berlaku adalah rampasan kuasa “melalui sistem undang-undang dan institusi kita yang lemah”. Ini merupakan peringatan bahawa ketulusan serta integriti dan kebebasan “sistem undang-undang dan institusi kita” daripada kuasa politik semasa tidak seharusnya di kompromi. Sekiranya dikompromi, Perlembagaan Malaysia tidak mempunyai erti sebagai peralatan demokrasi dan demokrasi kita pasti lumpuh dan akhirnya pupus. Ini sudah tentu merupakan rampasan kuasa secara senyap terhadap matlamat kita untuk mencapai demokrasi berperlembagaan dengan kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan Kedaulatan Undang-Undang kita.


22. Kita mungkin tidak sedar dan tidak bimbang sekiranya sistem demokrasi dipisahkan daripada Perlembagaan dengan cara perlahan-lahan. Pihak yang mahu mengekalkan kuasa tahu cara menganjurkan rampasan kuasa tanpa mengguna kekerasan angkatan bersenjata. Krisis Perlembagaan dan Krisis Kehakiman 1988 adalah satu peringatan. Sekiranya kita tidak perbetul kerosakan yang telah berlaku itu sistem demokrasi kita pasti terjejas secara berkekalan; khususnya rakyat jelata tidak akan percaya lagi terhadap sistem politik dan pemimpin kita.


23. Persoalan yang mungkin timbul ialah apakah pentingnya atau relevankah UMNO – pertubuhan yang diasaskan 74 tahun dahulu dan kemudiannya diharamkan pada 30 tahun lepas – dihidupkan kembali? Soalan ini penting dan harus dijawab.


24. UMNO yang tertubuh pada 1946 adalah suatu pergerakan dan bukan hanya sekadar nama sebuah parti politik. Sebenarnya UMNO lebih besar daripada parti itu sendiri. Ia adalah pertubuhan yang mendukung parti. UMNO merupakan simbol politik lebih besar daripada parti atau keahliannya. Dalam tanggapan orang Melayu UMNO itu masih lagi sebuah pergerakan yang terdapat di setiap kampung, pekan dan bandar raya. Jika ikon ini diketepikan akan timbul kekosongan berbahaya yang boleh disalahguna oleh para populis dan oportunis. Oleh itu UMNO seharusnya mempertahankan kekukuhan politik yang dibinanya.


25. Kini buat pertama kalinya dalam sejarah negara Dewan Rakyat menghadapi krisis. Kita haruslah mengembalikan semula struktur dan kestabilan Dewan Rakyat. Ini hanya dapat dicapai sekiranya UMNO memperakui akan tanggungjawabnya

terhadap semua rakyat seperti tersurat oleh sejarah.


26. Saya telah memberi penjelasan politik dan undang-undang secara menyeluruh mengenai tuntutan UMNO berkaitan hak pengwujudannya dari segi politik dan undang-undang. Dalam memberi penjelasan itu saya telah merujuk kepada prinsip tidak ada kuasa di sisi undang-undang atau pun nullity untuk mencabar keputusan mahkamah dan Pendaftar Pertubuhan. Mahkamah Persekutuan telah menerangkan undang-undang berkaitan _'nullity'_ ini dalam kes _Eu Finance Berhad v Lim Yoke Foo

(1982) 2 MLJ 37._


27. Petikan berkaitan mengenai keputusan mahkamah dalam kes tersebut menyatakan:

_"Secara am, sekiranya sesuatu perintah itu merupakan nullity, rayuan terhadapnya tidak berguna oleh kerana apapun keputusan terhadapnya, perintah tersebut boleh ditangkis dengan jayanya oleh tindakan undang-undang berdampingan daripada mana-mana mahkamah atau tribunal berkenaan."_ Ini bermakna ia tertakluk kepada kritikan berdampingan. Mengikut tindakan undang-undang berdampingan mahkamah boleh mengisytiharkan tidak wujud sesuatu tindakan yang kononnya diwajibkan dari segi undang-undang.

Dalam kes _Harkness v Bell’s Asbestos and Engineering Ltd [1967] 2 QB 729, 736, Lord Diplock L. J._ (kini seorang _Law Lord)_ ada menyatakan (di muka surat 736) telah lama diputuskan bahawa sekiranya sesuatu perintah itu tidak ada kuasa di sisi undang-undang atau ia merupakan suatu nullity orang yang menjadi sasaran perintah itu boleh pilih sama ada tidak menghiraukannya atau memohon kepada mahkamah untuk mengenepikannya.


28. Mengikut kuasa menjalankan keadilan, keputusan mahkamah dan Pendaftar Pertubuhan itu adalah perintah tanpa kuasa di sisi undang-undang [nullity]. Ini adalah prinsip asas berkaitan dengan Kedaulatan Undang-Undang. Undang-undang tidak membenar Mahkamah Tinggi ataupun Pendaftar Pertubuhan membuat keputusan mengisytihar UMNO haram. Undang-undang juga tidak membenar Pendaftar Pertubuhan membatal pendaftaran UMNO kerana terdapat cawangan masih tidak berdaftar dan dengan sendirinya tindakan pentadbiran terhadapnya masih belum

lengkap. Seksyen 12(3) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] menyatakannya dengan tepat:

_“Jika sesuatu pertubuhan berdaftar menubuhkan suatu cawangan dengan tidak terlebih dahulu mendapat kebenaran Pendaftar maka cawangan ditubuhkan demikian itu hendaklah menjadi suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.”_

Ia jelas sekali tanpa keraguan. Lagipun, pentadbiran Akta Pertubuhan adalah di bawah bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan, bukannya Mahkamah. Permohonan oleh peguam untuk mengisytihar UMNO haram ialah penyalahgunaan proses penghakiman dan Mahkamah sepatutnya menolak permohonan tersebut.


29. Prinsip _nullity_ ini berdasarkan kepada prinsip undang-undang bahawa sesuatu keputusan itu tiada kuasa untuk dipatuhi sekiranya Mahkamah atau kuasa yang memulakannya tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang.


30. Pembatalan pendaftaran UMNO kini melebihi 30 tahun. Masa begitu lama diambil untuk mencabar sah atau tidak UMNO diisytihar haram dan dibatal pendaftarannya mencerminkan betapa rumit dan seriusnya isu tersebut. Saya perlu pasti betul-betul yang saya betul tentang pembatalan pendaftaran UMNO pada 1988 adalah suatu _nullity_ atas sebab prinsip undang-undang dan keperlembagaan dirempuh. Ia adalah muslihat jahat dan rampasan kuasa politik. Ia merupakan musuh dalam selimut yang merosakkan demokrasi Malaysia. Pendedahan ini perlu dibuat demi mengelak salah guna kuasa dan kerosakan yang tidak boleh diperbaiki terhadap ekonomi kita di masa depan.


31. Kita kini berada di dalam kesukaran dari segi perpaduan nasional, perhubungan kaum, toleransi keagamaan, visi bersama ekonomi nasional, keyakinan terhadap sistem institusi, kestabilan sistem politik dan parti politik untuk menyokong demokrasi berperlembagaan. Kejayaan demokrasi bergantung kepada sebahagian besar daripada warganegara bertanggungjawab dan berpengetahuan luas mengambil bahagian dalam politik demi menegakkan kesejahteraan nasional. Masalah yang kita hadapi sekarang ialah sistem politik kita merosot dan mutu biasa-biasa sahaja dan tidak begitu baik semakin menonjol. Mereka yang terbaik kini kehilangan harapan dan yang paling teruk dan tidak berguna amat ghairah dengan lagak mereka untuk mendapat kuasa. Keadaan ini menyebabkan terdapatnya, sedikit sebanyak, krisis kepimpinan. Dengan secara tidak langsung keadaan ini telah menimbulkan kecemasan di kalangan rakyat. Dalam pada itu, visi perkauman dan agama merupakan suatu khayalan berbahaya sekiranya ia ditonjol ke hadapan. Barang diingat bahawa politik bertanggungjawab adalah prasyarat dalam menegakkan pemerintahan dan demokrasi berperlembagaan. Sekiranya terdapat krisis dalam politik ia bermakna pemerintahan juga mengalami krisis. Maka itu sekiranya kerajaan tidak berfungsi ini bermakna tiada sesuatu pun dapat berfungsi. Pokoknya sistem politik berparti kita memerlukan transformasi dengan segera, tetapi kita kesuntukan masa.


32. Bebanan berkaitan dengan institusi amat berat. Disebaliknya perubahan yang kita perlu terhad kepada apa yang mungkin boleh diubah dari perspektif sejarah. Cabaran yang dihadapi oleh politik dan kepimpinan kita ialah menggunakan kuasa dan tenaga progresif kita untuk mengelakkan negara daripada krisis ini. Sebaliknya kita perlukan sistem politik alternatif dengan kepimpinan baru.


33. Dengan kekuatan UMNO di serata pelusuk termasuk luar bandar, pekan dan bandar raya, kita mungkin dapat mengamali politik baru sekiranya kita mampu mengatur kepimpinan di semua peringkat untuk menyatukan negara tersayang ini. Barang diingat UMNO yang dimaksudkan itu ialah UMNO yang hilang, tetapi kita berkemampuan mengembalikannya. Ini bukanlah persoalan undang-undang. Ia tidak pernah merupakan persoalan tersebut. Sebenarnya ia adalah persoalan politik walaupun ada yang cuba mensifatkannya sebagai persoalan undang-undang. Saya telah menjelaskan asas politik dan undang-undang dalam ucapan saya untuk menzahirkan semula UMNO 1946. Sebenarnya asas undang-undang mengenai sah atau tidak UMNO ada hadnya.


34. Saya akan memberitahu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Peguam Negara, Pendaftar Pertubuhan dan Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa saya berhak dari segi Perlembagaan untuk mengisytihar diri saya sebagai wakil parti Parlimen UMNO di Dewan Rakyat dengan keseluruhan hak undang-undang dan hak Perlembagaan.


Akhir sekali, saya merayu kepada keseluruhan orang Melayu agar menerima pandangan dan pendapat saya ini serta berdiri bersama saya untuk menegakkan segala apa yang telah dizahirkan demi kebaikan negara.


*YBM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah*


Baca berita selanjutnya di;

https://www.editormalaysia.com/24182/